Himpunan Khutbah isu Merdeka

Merdekakan Sistem Islam Rayakan Kemenangan

Merdeka jiwa dan negara rayakan kemenangan

Islamkan Sambutan Merdeka Rayakan Kenikmatan Syurga

  1. MERDEKA DIRAI ISLAM DIHAYATI
  2. HAYATI KEMERDEKAAN HAKIKI DENGAN ISLAM

Isikanlah Kemerdekaan Dengan Islam

MERDEKAKAN NEGARA DARIPADA PENINDASAN

MERDEKAKAN NEGARA DARIPADA PENJAJAHAN BARU

MERDEKAKAN NEGARA DENGAN ISLAM

MERDEKAKAN SELURUH SISTEM ISLAM

MERDEKAKAN PERLEMBAGAAN NEGARA DENGAN ISLAM

BERSATU MENCAPAI KEMERDEKAAN HAKIKI

Piagam DiHayati Rahmatan Lil Alamin DiRasai

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 1-3 surah al-Asr :

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣

Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –  Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Alhamdulillah rasa syukur kita rafakkan ke hadhrat Allah yang masih memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan tahun baru 1441H. Nikmat waktu yang Allah anugerahkan ini wajib diisi dengan amalan soleh disamping menjauhi dosa maksiat. Betapa ramai umat manusia yang mensia-siakan nikmat masa ini sehingga mereka menyesal bila nikmat itu diangkat. Nabi s.a.w pernah mengingatkan kita

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ  – رواه البخاري

Maksudnya : 2 kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu luang.

Waktu luang adalah nikmat yang besar dari Allâh tetapi malangnya ramai manusia tertipu dan mendapat kerugian terhadap nikmat ini antaranya :

[1] Seseorang tidak mengisi waktu luangnya dengan bentuk yang paling sempurna seperti menyibukkan waktu luangnya dengan amalan yang kurang utama, padahal dia mampu mengisinya dengan amalan yang lebih utama.

[2] Seseorang itu tidak mengisi waktu luangnya dengan amalan-amalan yang utama, yang memiliki manfaat bagi agama atau dunianya. Namun kesibukannya adalah dengan perkara-perkara mubah atau harus yang tidak berpahala.

[3] Apa yang lebih malang apabila seseorang itu mengisi waktu dengan perkara yang haram. Ini adalah orang yang paling tertipu dan rugi kerana dia menyia-nyiakan kesempatan memanfaatkan waktu dengan perkara yang tidak bermanfaat. Tidak hanya itu, bahkan dia menyibukkan waktunya dengan perkara yang akan membawanya kepada hukuman azab Allâh di dunia dan di akhirat.

Ketika melihat keadaan umat manusia dalam mengisi nikmat waktu maka terbahagi kepada 3 golongan iaitu :

[1] Golongan yang amalan soleh mereka lebih banyak daripada waktu mereka.
[2] Golongan yang menghabiskan waktu mereka dalam mengejar perkara yang tidak berfaedah, baik berupa ilmu atau harta yang tidak bermanfaat, atau urusan-urusan dunia lainnya.

[3] Golongan yang tidak mengetahui apa yang mereka hendak lakukan terhadap nikmat waktu sehingga terlepas faedah dunia apatah lagi manfaat akhirat

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤

Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Keberadaan kita pada awal tahun hijrah juga mengingatkan kita bagaimana betapa penting peristiwa hijrah untuk difahami dan dihayati dalam kehidupan seharian bukan sahaja peringkat peribadi malah keluarga, masyarakat seterusnya negara dan antarabangsa. Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.

Hijrah menzahirkan Rahmatan Lil Alamin dalam kehidupan sehingga Islam diyakini mampu menyelesaikan masalah umat. Sebagaimana intipati titah DYMM Yang Dipertuan Agong ketikan sambutan Hijraturrasul 1441H bagaimana Rahmatan Lil Alamin ialah rahmat yang lahir daripada penghayatan Islam yg sebenar. Rahmat ini akan mencucuri kehidupan manusia dan alam sejagat. Bukan bertolak ansur sehingga hilang roh dan izzah Islam. Bukan hendak sesuai dengan kehendak manusia.
Bukan hendak ambil hati orang bukan Islam sehingga hilang ruh Islam.
Bukan meletakkan Islam terlalu mudah sehingga hilang kecantikan Islam.
Bukan takut untuk mempertahankan Islam ketika dihina.
Bukan takut hendak membela saudara seIslam ketika dihina. Rahmatan Lil Alamin bukan ilusi, fantasi tetapi realiti, dengan syarat ambil daripada acuan Islam. Ianya suatu kebenaran daripada Allah SWT.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Ketika menyoroti peristiwa hijrah maka kita dapati 3 perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setibanya di Madinah ialah membina masjid, mempersaudarakan umat Islam dan menggubal piagam. Tahap awal ini merupakan proses untuk mengukuhkan kedudukan sosio-politik orang Islam di Madinah termasuk kedudukan Baginda s.a.w sebagai Ketua Negara. Piagam yang digubal pada 633 Masihi tersebut juga dikenali sebagai Ṣaḥīfah al-Madīnah. Piagam adalah sebuah perlembagaan yang digunapakai sebagai rujukan dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara yang adil. Oleh itu, perlembagaan bukan hanya diperlukan oleh sebuah negara yang dianggap bertamadun tetapi juga digunapakai oleh negara yang dianggap tidak bertamadun. Untuk mencapai kestabilan dalam kehidupan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa serta agama, kontrak sosial diperlukan sebagai perjanjian yang disepakati oleh setiap kumpulan masyarakat. Ia juga bukan sekadar perjanjian oral tetapi adalah sebuah perjanjian yang termaktub di dalam dokumen. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal oleh sebuah negara berdaulat di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Ia juga menolak dakwaan yang menyatakan Islam hanyalah agama ibadat yang menumpukan hubungan antara makhluk dengan Tuhan semata-mata.

Piagam tersebut mempunyai 52 bahagian yang mengandungi istilah-istilah perundangan dan kaedah penulisan perlembagaan yang sesuai dengan era tersebut bahkan kepentingannya juga turut diperakui oleh pengkaji-pengkaji di Eropah. Malah ketika penjajah ingin mengurus negara jajahan selepas perang dunia turut menjadikan Piagam Madinah sebagai rujukan utama. 3 asas utama dalam piagam Madinah ialah :

[1] Piagam Madinah adalah perlembagaan persekutuan yang membentuk negara Madinah;

[2] Piagam Madinah adalah kontrak sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama bagi membentuk ummah dan;

[3] Piagam Madinah menjamin hak-hak asasi setiap warganegara terutamanya hak kebebasan beragama mereka terutama masyarakat Yahudi.

Begitulah dalam konteks negara kita sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara tidak akan berlaku secara terang-terangan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 96  surah al-A’araf :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Hijrah telah mengubah keadaan umat yang tertindas menjadi kuat berkuasa. Hijrah telah membolehkan seluruh system Islam termasuk ekonomi, perundangan, sosial, politik dapat disebar luaskan sehingga dirasai nikmat dan keadilannya. Hijrah telah merubah umat manusia yang menurit hawa nafsu kepada tunduk kepada hukum hakam yang diwahyukan sehingga kezaliman disekat dan negara mendapat berkat. Semoga semangat hijrah yang pernah ditunjukkan oleh nabi s.a.w dan para sahabat dapat dihayati dan diteruskan dalam kehidupan kita untuk mengembalikan izzah kemuliaan umat. Kita mesti buang rasa sangsi terhadap perundangan Islam sebagaimana contoh yang terdekat iaitu Brunei yang hampir 2 bulan melaksanakan perundangan Islam termasuk hudud di mana setakat ini hanya 2 orang pesalah di bawah kesalahan mencuri didakwa di mana kedua-dua pencuri itu hanya dihukum takzir iaitu denda dan penjara sahaja kerana tidak cukup bukti dan jumlah yang dicuri kurang daripada had minima untuk dikenakan hukuman potong tangan. Apa yang penting bila kita laksanakan hukuman Islam ialah jaminan daripada Allah. Kita sendiri terus dihantui dengan kes curi, rompak yang semakin menjadi-jadi

Hijrah juga membentuk peribadi yang takut kepada Allah sehingga menjauhi sifat jahat termasuk rasuah dan pecah amanah. Kita begitu bimbang dan mendesak agar pihak pihak berkuasa membanteras jenayah sindiket menjual kad pengenalan kepada warga asing. Jangan gadai kemerdekaan negara dengan jenayah yang menjijikkan ini. Sebagaimana tokoh China pernah berkata bahawa penjajan tidak mampu menawan China dengan meruntuhkan tembok China yang begitu kukuh tetapi penjajah boleh menjajah dengan membeli pengawal yang menjaga pintu kota

Hijrahlah kita daripada jahiliah kepada Islam agar kita bahagia dan Berjaya dunia dan akhirat

قال الرسول   : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Jumaat : Hijrah Merdekakan Negara Julang Umat Berjaya

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Pada tahun ini kita sama-sama menyambut 2 peristiwa bersejarah dalam masa yang berdekatan iaitu sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-62 dan juga awal Muharram tahun baru 1441H. Ketika menyoroti antara makna dan matlamat merdeka dan hijrah maka kita dapati banyak persamaan antara keduanya. Hakikat sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ  الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

Kemerdekaan juga ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Za’aba, memberi erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤

Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Manakala makna hijrah dibezakan menjadi dua macam, iaitu hijrah makaniyah yang bermakna berpindah dari satu tempat ke tempat lain seperti hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinan. Makna kedua hijrah maknawiyah iaitu mengubah diri, dari yang buruk menjadi lebih baik demi mengharap keredhaan Allah. Hijrah maknawiyah dibahagikan kepada 4 iaitu [1] hijrah i’tiqadiyah iaitu keimanan, ketika seorang Muslim mencuba meningkatkan keimanannya agar terhindar dari syirik. [2] hijrah fikriyah iaitu pemikiran, ketika seseorang memutuskan kembali mengkaji pemikiran Islam yang berdasar pada al-Quran dan hadis nabi demi menghindari pemikiran yang sesat. [3] hijrah syu’uriyyah adalah berubahnya seseorang yang dapat dilihat dari penampilannya, seperti gaya berpakaian dan kebiasaan hidup agar bertepatan dengan syarak. [4] hijrah sulukiyyah iaitu tingkah laku atau keperibadian agar berakhlak dengan akhlak Islam

Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.

قال الرسول   : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Bila kita faham bagaimana erti merdeka dan hijrah maka bersungguhlah kita dalam mempertahankan kemerdekaan Negara dengan bersungguh berhijrah daripada terus memuja system kuffar kepada Islam, cara hidup yang bercanggah dengan agama kepada patuh kepada syarak. Jangan biarkan darah dan keringat para pejuang kemerdekaan dicemari dengan kembali mengikut jejak langkah penjajah. Kita berasa kecewa dan marah bila kemerdekaan Negara cuba dicemari dengan beberapa isu seperti adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara. Sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu ini tidak akan berbangkit. Kita sedar bagaimana setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

Kita wajib memiliki jiwa merdeka agar tidak terus dijajah dan bergantung kepada orang lain untuk maju. Contohilah hijrah sahabat nabi dalam memerdekakan umat daripada penjajahan jahiliah. Ketika umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka tidak membawa harta atau aset kekayaan bersama mereka. Sebaliknya mereka hanya bersehelai sepinggang untuk memulakan hidup baru di wilayah baru. Suasana ekonomi di Madinah pada ketika itu berada dalam cengkaman monopoli orang Yahudi. Yahudi menguasai perdagangan antara kota, pertanian, tenunan pakaian, industri besi dan emas serta pinjaman kewangan dengan riba yang sangat tinggi. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah sa.w mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’ iaitu antara orang terkaya dalam kalangan Ansar. Saad bin Rabi’ ingin memberi salah seorang isterinya dan separuh hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf. Namun, Abdul Rahman bin Auf menolak pelawaan itu sebaliknya berkata, “Tunjukkan aku dimanakah pasar yang paling sibuk dengan perniagaan”.

Maka Saad bin Rabi’ pun menunjukkan kepadanya Pasar Yahudi Qainuqa. Abdul Rahman bin Auf yang sebelum ini merupakan hartawan dan usahawan di Mekah terus memulakan perniagaan di pasar Yahudi itu tanpa takutkan persaingan. Antara dagangannya adalah perniagaan unta yang selama ini dikuasai oleh orang Yahudi. Beliau menjual unta dengan harga yang tidak setinggi jualan orang Yahudi. Walaupun tahap keuntungannya sedikit, namun beliau telah menarik ramai pelanggan dek kerana harga yang tidak terlampau mahal. Tetapi, setiap unta yang dijualnya tidak disertakan tali pengikat unta. Apabila banyak unta terjual, menjadi suatu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan tali pengikat unta. Dari sinilah Abdul Rahman bin Auf mula membuat keuntungan dengan menjual tali pengikat unta.

Pengajaran dari kisah ini adalah, “Peniaga Muslim perlu ada Skill & Strategi Perniagaan”. Apa yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf adalah Market Research (cari pasar paling sibuk), Trust through Branding (unta Uthman harganya tidak terlampau mahal seperti peniaga Yahudi) dan Supply & Demand (mengawal harga melalui keperluan masyarakat untuk mendapatkan tali unta).

Oleh itu merdekakan diri umat Islam dengan kesungguhan dalam mengeluarkan produk, menyatukan kepakaran yang ada, saling membantu dalam membina kekuatan ekonomi umat Islam. Kekuatan atas dasar aqidah ini akan memerdekakan kita daripada terlalu bergantung orang lain disamping mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menipu umat Islam seperti isu logo halal, jenama atas nama Islam hanya sebagai pelaris dan mengelirukan pengguna umat Islam. Merdekakan diri kita, ahli keluarga, masyarakat, negeri seterusnya Negara dengan berhijrah dari system jahiliah kepada Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩

Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Merdekakan Sistem Islam Raih Kegemilangan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 6 surah Ibrahim :

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ ﴿٦

Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”

            Beberapa hari lagi iaitu pada tanggal 31 Ogos kita bakal menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-59. Bagi membuktikan bahawa kita adalah rakyat yang merdeka maka pemahaman dan penghayatan kepada ruh merdeka mestilah dihidupkan dalam kehidupan bukan hanya setakat tahu melaung kalimah merdeka sedangkan cara hidup dan cara berfikir terus dijajah. Sebagai contohnya melalui kisah para nabi yang dinukilkan dalam al-Quran maka kita dapat memahami seterusnya menghayati makna sebenar merdeka dalam kehidupan. Pertama, melalui kisah Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membebaskan dirinya manusia daripada penyembahan berhala atau sesuatu yang dianggap berkuasa kepada menyembah Allah yang Maha Kuasa. Bentuk perhambaan yang menjatuhkan cara hidup dan martabat manusia seperti itu juga terjadi pada era moden. Penghambaan terhadap materialisme dan hedonisme telah membawa manusia moden untuk melakukan salahguna kuasa tanpa perasaan bersalah, mengorbankan nyawa-nyawa tak berdosa, menghalalkan berbagai cara untuk meraih harta dan takhta.

Kedua, makna kemerdekaan melalui kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya dari penindasan Firaun. Keangkuhan rejim Firaun ini membuat mereka tak segan membunuh dan memperbudak kaum laki-laki bangsa Israel dan menistakan kaum perempuannya. Keangkuhan inilah yang mendorong nabi Musa bergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri dari penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa yang mulia dan bermartabat. Tugas terberat sebuah bangsa merdeka adalah bagaimana mempertahankan kemerdekaan dirinya sebagai bangsa merdeka, serta bebas dari pemimpin sebangsa yang bertindak dan bertingkah laku laksana penjajah asing. Begitu juga merdeka dari pengaruh dan tekanan asing terutama di bidang politik, ekonomi, dan budaya. Bukan merdeka jika terus berada di bawah tekanan politik negara lain. Bukan merdeka jika menyerahkan penguasaan sumber alamnya kepada pihak asing tanpa pembahagian yang adil. Bukan merdeka jika meniru budaya asing yang merosakkan. Kemerdekaan yang sebenar hanya bila kita berjaya mengisikannya dengan system Islam kerana Islam memerdekakan manusia daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Firman Allah dalam ayat 3 surah al-Maidah :

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya : ….Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. ….

Makna kemerdekaan yang Ketiga, melalui tugas dan  kejayaan Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembang misi dakwahnya di muka bumi ini.  Ketika diutus 14 abad silam, Nabi Muhammad s.a.w menghadapi sebuah masyarakat yang mengalami 3 penjajahan sekaligus iaitu kehilangan panduan agama sehingga menyembah berhala, penindasan ekonomi dan kezaliman sosial. Rasulullah s.a.w berjuang keras mengajarkan kepada umat manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan tuhan-tuhan yang menurunkan darjat manusia. Menghapuskan penindasan ekonomi antaranya memastikan kekayaan tidak hanya berputar pada kelompok-kelompok tertentu saja dan mengutuk orang-orang yang mengumpul dan menghitung harta kekayaan tanpa memedulikan kesejahteraan sosial dan keadilan ekonomi.  Rasulullah s.a.w menggalakkan pembebasan hamba abdi, menjaga kehormatan dan kedudukan perempuan dan menghilangkan semangat asobiyyah atau kebangsaan sempit. Dalam khutbah terakhirnya di Arafah, saat haji wadaí, baginda menegaskan bahwa tidak ada perbezaan antara hitam dan putih, antara Arab dan  bukan Arab. Tidak ada sesuatu yang membezakan manusia satu dengan manusia lainnya, kecuali tingkat ketakwaan mereka kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

            Firman Allah dalam ayat 32 surah al-An’am :

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ﴿٣٢

Maksudnya : Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Akibat daripada sikap pemimpin negara sendiri yang lebih senang menghidangkan hiburan melampau kepada rakyat menyebabkan penghayatan kepada kemerdekaan hilang ruhnya sebaliknya budaya penjajah semakin subur bukan semakin berkubur. Budaya Hedonisme berasal dari perkataan Greek dan telah wujud sebelum Masihi lagi. Ia membawa maksud ‘kesenangan’ atau dalam erti kata lain, menjadikan kesenangan dunia untuk beroleh ketenangan rohani. Ia adalah pola pemikiran yang menjadikan hiburan sebagai jalan untuk bebas dari permasalahan dan tekanan batas kehidupan yang dianggap rumit. Salah satu masyarakat yang mengamalkan hedonisme ialah masyarakat Pompeii. Kini, masyarakat Pompeii hanya terbuku dalam lipatan sejarah dunia. Antara bahayanya budaya Hedonisme ialah :

[1] Mengundang sifat boros dengan menghabiskan banyak wang untuk memenuhi hawa nafsu belanja yang tidak terkendali. [2]  Menyuburkan sikap mencintai diri sendiri secara berlebihan. Hal ini juga akan menimbulkan penyakit hati yang lainnya seperti sombong. [3]  Menghilangkan rasa malu  [4]  Menghilangkan kepekaannya terhadap sosial sehingga dia tak peduli apa yang dirasakan oleh orang lain. [5] Hilang rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri sehingga kadang-kadang melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri dan orang lain

            Malah budaya ini turut meresap melalui ketagih bermain ‘game’ sehingga payah menerima teguran seperti isu game ‘Pokemon Go’ yang hangat dibicarakan pada awal bulan ini sehingga dirasakan teguran yang diberikan seperti sekatan yang menyekat hobi mereka. Apatah lagi mereka yang terlibat dengan dadah yang membunuh diri sendiri dan orang lain termasuk kes terbaru di Melaka apabila  3 beranak mati dikelar. Inilah antara penjajahan moden yang mesti ditangani kerana ia boleh membawa masalah besar kepada Negara.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Sempena menyambut kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

            Kita sedia maklum bahawa kedatangan penjajah bukan sahaja untuk menyedut hasil mahsul Negara malah untuk meletakkan Islam ditempat yang terhad. Oleh itu usaha dalam mengembalikan system Islam termasuk dalam memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk dalam meminda Akta RUU 355 bagi memastikan kekangan terhadap kuasa mahkmah Syariah dapat ditangani. Usaha ini bukan suatu benda yang mudah kerana kita dapat melihat orang bukan Islam bersatu dalam menghalangnya manakala orang Islam sendiri berpecah untuk menyokongnya. Sedangkan kita baru sahaja dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur  yang membenarkan seorang wanita menukarkan status  jantinanya kepada lelaki. Permintaan tukar jantina ini bukan kali pertama dimohon di mahkamah. Antara kes yang sama pernah dibicarakan Mohd Ashraf Hafiz pada 2011 dan Vasudevan a/l Ramoo tahun 2015 juga beberapa kes lain yang mahkamah memutuskan menolak permohanan mereka.  Isu ini giat diperjuangkan oleh pengamal LGBT atas hujah kebebasan hak asasi manusia. Namun implikasi membenarkan pertukaran jantina amat besar kepada masyarakat dan sangat dilarang dalam Islam kerana ia menghalang pembentukan keturunan yang baik. Inilah antara isu yang berkaitan agama yang memerlukan kepada usaha yang bersunggu daripada semua pihak agar system Islam dapat dimerdekakan daripada terus dipenjarakan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

Fitnah DiHindari, Merdeka DiHayati, Keberkatan DiDakapi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  36 surah al-Isra’ :

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦

Maksudnya : Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Islam begitu menitikberatkan hubungan manusia sesama manusia termasuk mewajibkan kita supaya menjaga seluruh pancaindera kita daripada menceroboh dan mengkhianati manusia yang lain. Ledakan kepesatan teknologi komunikasi makin me­nam­bah ruang penyebaran fitnah yang merosakkan hubungan baik antara kita. Dengan kewujudan media so­sial atas pelbagai nama dengan pelbagai peranti canggih, manusia semakin senang mencipta dan menebar fitnah. Banyak kes membuktikan media sosial menjahanamkan akhlak manusia kerana menyebarkan sesuatu berita tanpa etika dan adab. Sekiranya zaman dahulu fitnah hanya disampaikan dari mulut ke mulut secara bisikan, namun sekarang ma­nu­sia tidak segan silu menjaja fitnah melalui kemudahan teknologi samada komputer mahupun telefon. Apatah lagi ia sangat mudah dilakukan. Dengan hanya menaip di papan kekunci, semua orang boleh membaca se­baran fitnah yang disasarkan. Dan mereka yang menjadi ba­han fitnah akan menanggung akibat yang mungkin me­ranapkan sebuah kehidupan. Fitnah juga merupakan tanda-tanda akhir zaman, di ma­na pada zaman ini amat sukar untuk membezakan antara hak dan batil, sebagaimana ingatan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Majah :

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خُدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ , وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ , وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ” . قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ : ” الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَةِ ”

Maksudnya : Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah justru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.”

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Islam mengajar kita supaya umatnya mengutamakan perkara akhirat ketika menghadapi fitnah, kerana ia akan menambah darjat seseorang yang difitnah dan mendapat kemenangan dalam erti kata yang sebenar. Kebijaksanan menguruskan fitnah berkait rapat dengan iman seseorang kerana bagi orang yang beriman dan bertakwa, mereka mempercayai hanya Allah yang boleh memberi mudarat kepada hamba-Nya. Tidak dinafikan ramai yang kecundang dalam menghadapi serangan fitnah, tidak kira kecil atau besar seseorang itu, berpendidikan tinggi, berpangkat atau marhaen. Kemampuan menghadapi fitnah ini bergantung kepada kekuatan iman dan akhlak seseorang hamba. Setinggi manapun ilmunya, jika dia tidak dapat mengurus emosi, fitnah boleh sahaja menjadi bahan pembakar dirinya. Ini kerana ilmu hanya untuk menutup kebodohan diri, ma­nakala akhlak pula untuk seseorang itu mengawal emo­si. Orang berilmu tanpa akhlak akan carik maruah dan kewarasannya tatkala dicakar fitnah. Oleh itu, kita disarankan supaya membalas kebaikan pada setiap kejahatan, sambil berdoa supaya orang yang zalim dan menzalimi itu berubah kepada kebaikan.

Kita juga dapat lihat bagaimana kemudahan tekonolgi maklumat menyebabkan seseorang mudah menyebarkan berita palsu termasuk mendakwa orang yang masih hidup dikatakan sudah mati dan yang paling menyedihkan dengan menyebar berita bohong untuk menakutkan orang lain seperti amaran Tsunami di Sabah, banjir besar 2 kali ganda bakal melanda Kelantan hujung tahun ini dan sebagainya. Bahayanya orang yang hatinya berpenyakit yang suka melihat orang tertipu dengan cerita bohongnya. Ibarat kata imam Hasan al-Basri bagaimana ada seorang penipu pada zamannya bila membawa cerita bohong ke Istana Khalifah dengan harapan ceritanya tersebar luas di mana bila dia kembali pulang ke rumahnya didapati isterinya telah menerima cerita bohongnya untuk diberitahu kepada dia sendiri yang mula-mula mereka cerita bohong tersebut

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Beradanya kita pada bulan Zulkaedah juga mengingatkan kita kepada suatu catatan Sejarah Islam bagaimana surat layang yang menyebarkan fitnah telah membawa kepada syahidnya Sayyidina Uthman bin Affan iaitu khalifah yang ke-3 di mana beliau memerintah selama kurang 12 hari untuk mencukupi 12 tahun. Pemerintahannya berlangsung dengan aman sehinggalah apabila memasuki tahun ketujuh iaitu tahun 30 Hijrah maka bermulanya zaman fitnah. Kebanyakan fitnah ini dimainkan oleh golongan Khawarij dan pengikut Abdullah bin Saba’ iaitu seorang yahudi dari Yaman yang memeluk Islam tetapi berperanan dalam melawan Islam dari dalam. Antara usaha jahat pihak Ibnu Saba’ dan Khawarij dengan menggunakan khadam dan cop mohor Sayyidina Uthman dalam menyebarkan surat layang bahawa beliau memerintahkan supaya Gabenor Mesir membunuh anak Sayyidina Abu Bakar yang baru sahaja mendapat mandat daripada Sayyidina Uthman sendiri supaya menggantikan tempat sebagai Gabenor Mesir yang baru.  Fitnah ini membuka ruang kepada pemberontak untuk mengepung Sayyidina Uthman di Madinah bermula 8 Zulkaedah tahun 35 Hijrah. Akhirnya tibalah hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah yang merupakan hari terakhir bagi kehidupan dunia Sayyidina Uthman iaitu hari ke 40 daripada kepungan itu. Beliau yakin telah tibanya hari ajalnya lalu berpuasa dan banyak membaca al-Quran agar beliau mati syahid dalam keadaan berpuasa dan membaca al-Quran.

3 pimpinan Khawarij memasuki bilik beliau di mana Ghafiqi telah memukul Sayyidina Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Al-Quran itu terus terbuka dan tetap berada di tangan Sayyidina Uthman sehingga darah yang mengalir dari muka Sayyidina Uthman terkena ayat 137 surah al-Baqarah yang berbunyi:

…………. فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّـهُ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿١٣٧

Maksudnya : Maka cukuplah Allah bagi kamu daripada kejahatan mereka dan Dialah Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Selepas syahidnya Sayyidina Uthman maka orang memeriksa almarinya lalu menemui sebuah kotak yang terkunci yang terdapat sebuah bungkusan yang di dalamnya ada sehelai kertas yang tertulis : :”Ini adalah wasiat Uthman. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Uthman bin Affan bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah semata, yang tiada sekutu bagiNya dan bahawa nabi Muhammad adalah hamba dan rasulNya. Sesungguhnya Syurga itu benar, Neraka itu benar dan Allah membangkitkan siapa yang ada di dalam kubur untuk menghadapi hari yang tiada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak mengengkari janji. Di atas janji ini, kita hidup dan mati serta dibangkitkan, in sya Allah”.

Sayyidina Uthman walau pun asal merupakan jutawan tetapi tidak meninggalkan kekayaan yang mewah apatah lagi untuk merompak harta rakyat dengan pelbagai cara untuk membina kekayaan berganda, jauh daripada memiliki wang derma berbilion ringgit yang meragukan yang boleh menggadaikan negara

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Api fitnah ini terus berlangsung dan ia merupakan antara senjata utama musuh Islam dalam menjajah bumi umat Islam dari dulu hingga kini. Kita dapat baca dalam catatan sejarah bagaimana penjajah tidak mampu menawan Kerajaan Islam melainkan adanya pengkhianat dari dalam yang sanggup bersekongkol dengan penjajah asalkan hasrat mereka dalam medapatkan pangkat tercapai walau menggadai Negara sendiri. Malah peperangan saudara terutama di Negara arab pada hari ini, begitu juga kegasanasan termasuk di Thailand adalah hasil di bawah perancangan licik musuh Islam di mana akhirnya Islam dan umatnya menjadi mangsa

Sempena berada pada bulan merdeka di mana beberapa hari lagi kita bakal menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-58. Angka 58 tahun kemerdekaan adalah tempoh singkat berbanding dengan tempoh 446 tahun negara dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Tentulah di dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan walaupun setelah merdeka. Namun itu bukanlah alasan untuk tidak membebaskan diri kita daripada minda penjajah. Ketika menikmati kemerdekaan ini ada beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’ khususnya dalam aspek perundangan. Umpamanya kebergantungan mahkamah sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris masih lagi merupakan aspek penting di dalam penghakiman di mahkamah walaupun kita telah merdeka. Benarlah kata al-Marhum Tuan Guru Hj Abdul Rahman Pondok Sungai Durian bahawa harimau mati tinggalkan belang, penjajah pergi tinggalkan undang-undang. Malah usaha dalam memperkasakan undang-undang Islam terus dihalang dengan pelbagai cara walau pun sejarah telah membuktikan bagaimana undang-undang Islam adalah system yang diguna pakai di Negara ini. Ibarat kata pemimpin gerakan Islam semasa mahu mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah bahawa kita melakukan kesefahaman politik pada hari ini dengan golongan pelbagai fahaman dan agama di mana kita berada di atas kapal masing-masing dengan tempat berlabuh masing-masing. Ada golongan yang telah lama berlabuh hanya sekadar boleh menukar pemerintah daripada kulit putih kepada sawo matang. Tetapi kita gerakan Islam terus berlayar sehinggalah kita Berjaya mengubah system penjajah kepada system Islam dalam Negara.

Oleh itu perlu kepada usaha bersungguh dalam menyebar luas kefahaman terhadap keindahan dan keadilan system Islam serta umat Islam wajib memakai akhlak Islam agar dakwah Islam lebih mudah dilihat bukannya terdinding daripada perangai buruk umat Islam sendiri. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Merdekanya kita bukan kerana berjaya menghalau penjajah yang berbangsa lain sebaliknya merdekanya kita apabila Berjaya membuang system ciptaan penjajah yang sesat seterusnya mendirikan di atasnya system Islam. Merdekakan system Islam nescaya membentuk Negara berkat, rakyat selamat

Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan :

فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islamkan Sambutan Merdeka Raih Syurga Idaman

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu :

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ‌ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ‌ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَ‌اطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾ وَيَنصُرَ‌كَ اللَّـهُ نَصْرً‌ا عَزِيزًا

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)

Kini kita berada dipertengahan bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih dirasai dengan pelbagai program termasuk rumah terbuka yang silih berganti. Sambutan hari raya lebih bermakna bila disambut mengikut suluhan wahyu dengan mengekang hawa nafsu supaya tarbiah Ramadhan yang dijanjikan dengan pengampunan dosa tidak kembali dicemari dengan kekotoran noda dosa pada bulan Syawal. Peluang kedatangan Syawal juga akan lebih bererti bila proses tarbiah Ramadhan diteruskan dengan sama-sama berpuasa 6 hari di bulan Syawal bagi menyahut seruan nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ  ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ          ( رواه مسلم )

Maksudnya  : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Selain kehangatan sambutan raya, hari ini kita berada pada 31 Ogos di mana bermula malam tadi dengan sambutan ambang merdeka dan pagi tadi pelbagai acara dalam menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia seronok kerana dapat menyambut hari kemerdekaan Negara kali ke-55. Sebagaimana laungan kemenangan ketika sambutan raya yang sepatutnya memberi motivasi dan semangat yang tinggi untuk kita sama-sama menjulang wahyu, mengekang hawa nafsu sehingga musuh Islam tidak lagi berani memperkuda dan mempermainkan Islam namun apa yang berlaku adalah sebaliknya akibat umat Islam dihidapi penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu takut kepada mati sehingga takbir raya bukan sahaja lesu tak bermaya malah tidak membawa perubahan ke arah kebaikan. Begitulah juga sambutan merdeka yang tidak dapat lari daripada unsur hiburan melampau yang menunjukkan bahawa mulut sahaja seronok melaungkan merdeka tetapi jiwa dan cara hidup terus berqiblatkan penjajah. Akhirnya penjajah tersenyum simpul melihat gelagat lucu rakyat di negara bekas jajahannya yang mulutnya berkata merdeka tetapi cara hidupnya terus menjulang system penjajah. Malah system Islam yang dikuburkan oleh penjajah termasuk hukum Hudud begitu ditakuti oleh umat Islam sendiri kerana telah lama memuja system penjajah. Seronokkah kita bila hanya melaungkan merdeka sedangkan selepas merdeka peratus orang Islam ada 82% tetapi setelah 55 tahun merdeka peratus orang Islam tinggal 50% sahaja. Itu belum dikira dengan penghapusan tulisan jawi yang membawa kepada semakin ramai umat Islam buta al-Quran dan agama. Penukaran cuti hari Jumaat kepada Ahad yang tidak pernah berani dibuat oleh penjajah tetapi dilakukan oleh anak didik penjajah. Malah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sehingga bahasa Malaysia dikuburkan menjadi lambang besar bagaimana penjajahan pemikiran dan cara hidup lebih bahaya daripada penjajahan bangsa dan warna kulit. Benarlah kata Ibnu Khaldun bahawa bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang terpaksa menggunakan bahasa penjajahnya untuk mencari kemajuan.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Menyedari betapa pentingnya erti sebuah kemerdekaan dari segi pengisian dan seterusnya menjaganya maka kita umat Islam telah diberi garis panduan berguna bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dalam perkara ini termasuk pengajaran besar daripada Kemerdekaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun 8H bukan sahaja membersihkan kembali Ka’abah daripada berhala dan amalan syirik yang selama ini mengotorkan kesucian bumi Mekah malah memudahkan lagi umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji. Bahkan bermula daripada kemerdekaan Kota Mekah telah membolehkan Islam menyebar luaskan lagi dakwah dan sistemnya bukan sahaja dalam Semenanjung Tanah Arab tetapi turut keluar daripada kawasan itu. Kemerdekaan ini diminta oleh Allah agar didahulukan dengan bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah yang telah menjadikan umat Islam sebagai pemegang amanah dan pembela agama Islam dan juga atas rahmat Allah yang mengurniakan kemenangan serta penyertaan umat manusia yang begitu ramai memeluk Islam selepas kemerdekaan bumi Mekah. Allah turut menyuruh agar beristighfar atas pelbagai perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati di saat kemenangan serta perasaan tidak sabar, terkilan, gentar kerana merasakan begitu lama kemenangan yang dijanjikan Allah ini untuk diraih. Arahan ini sebagaimana diungkapkan oleh Allah dalam ayat 3 surah an-Nasru  :

 فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Ia jauh berbeza dengan sambutaan kemerdekaan kita yang dipenuhi dengan hiburan melampau sehinga ramai yang terlibat dengan arak, zina yang melahirkan anak luar nikah beberapa bulan selepas sambutan merdeka dan kesan buruk yang lain. Cara sambutan kemerdekaan ini bukan sahaja tidak berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang sanggup mati untuk menghalau penjajah malah tidak bersyukur kepada Allah dengan melakukan maksiat. Akhirnya laungan merdeka menjadi nyanyian yang melalaikan ketika sistem penjajah terus menguasai jiwa dan negara yang menyaksikan bukan sahaja jenayah bertambah ganas dan parah malah maruah Islam dan umatnya semakin tercalar. Ketika bercakap isu murtad maka tiada undang-undang tegas berdasarkan Islam yang digubalkan. Malah apa yang lebih malang kedudukan Mahkamah Syariah yang dianggap kelas kedua berbanding mahkamah sivil telah meletakkan hak muallaf bagaikan terumbang-ambing tanpa pembelaan sewajarnya. Apa yang lebih teruk apabila undang-undang tukar agama yang diluluskan kabinet pada tahun 2009 yang membenarkan seorang anak kekal dalam agama asalnya iaitu bukan Islam apabila ibubapanya masuk Islam menambahkan penghinaan terhadap Islam. Sempena menyambut kemerdekaan kali ke-55 marilah sama-sama kita berdoa dan membantu seorang Muallaf iaitu Muhammad Riduan bin Abdullah yang memerlukan kos guaman sebanyak RM 60 ribu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memberi hak penjagaan anak-anaknya yang telah diIslamkan kepada isterinya yang bukan Islam walau pun sebelum itu Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memutuskan hak penjagaan 3 anaknya itu kepada Muhamamd Riduan. Jangan pula akibat pemikiran kita pun telah dijajah menyebabkan kita memandang isu agama anak sebagai suatu yang murah berbanding baju raya dan bendera jalur gemilang. Jangan jadi menang sorak kampung tergadai. Buat pekak walau pun agama dijual

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sempena menyambut kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”

Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”

Tarbiah Ramadhan banyak mengajar kita bahawa kita bukan sahaja akan berasa gembira ketika berbuka puasa malah apa yang paling diidamkan ialah bahagia apabila berjumpa dengan Allah di akhirat kelak. Begitu juga tarbiah Ramadhan akan memerdekakan kita daripada api neraka yang merupakan antara kemuncak kepada kelebihan Ramadhan bagi hamba Allah yang Berjaya menghayati tarbiah Ramadhan. Maka suasana sambutan merdeka juga mesti disambut mengikut acuan agama agar jiwa dan cara hidup kita dimerdekakan daripada penjajahan system penjajah samada dari segi pemerintahan, politik, sosial, ekonomi dan lainnya supaya kita bukan sahaja benar-benar merdeka di dunia malah yang lebih penting ialah merdeka daripada api neraka Allah seterusnya meraih Syurga di akhirat nanti.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Penjajahan DiBuang Maruah DiJulang

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 18 surah Az-Zumar :

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya : Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal yang disebut sebagai bulan kemenangan setelah melalui sebulan tarbiah Ramadhan dalam mendidik seluruh pancaindera ke arah mentaati Allah serta menjauhi segala larangan Allah. Hakikat kemenangan tidak dapat dirasai melainkan bagi orang yang benar-benar berjuang sebagaimana laungan kemenangan yang terus diingat dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) pada bulan Syawal tahun ke-5H. Laungan kemenangan ini diulang-ulang saban tahun untuk membangkitkan semangat kita dalam memperjuangkan Islam yang merupakan satu-satunya agama atau cara hidup yang sempurna dan benar. Kita ingat kata-kata seorang yahudi kepada Sayyidina Umar al-Khottab : Wahai Amirul Mukminin! Sekiranya turun ayat ini kepada kami golongan yahudi nescaya kami akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya iaitu ayat 3 dari surah al-Maidah yang berbunyi

…..الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا……

Maksudnya : Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu

            Mendengar kata-kata yahudi itu lalu Sayydina Umar mengatakan bahawa kami  tahu bahawa ayat ini turun pada hari Jumaat ketika berada di padang Arafah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Meyakini tentang betapa sempurnanya agama Islam dan hebatnya segala sistem yang datang daripada Allah melalui nabi Muhammad s.a.w maka kita wajib memerdekakan diri sendiri, ahli keluarga, masyarakat sekeliling seterusnya negeri dan negara daripada sebarang bentuk penjajahan yang cuba menyekat sistem Islam daripada hidup subur. Antara kebebasan yang mesti kita lakukan ialah [1] membebaskan diri daripada menyekutui Allah dari segi penyembahan dan pergantungan hidup. Betapa malangnya masyarakat kita hari ini dimomokkan dengan kepercayaan tahyul dan khurafat terutama melalui filem seram sehingga mereka berada dalam ketakutan kepada kuasa yang lain daripada Allah. Akhirnya amalan sihir semakin subur serta pergantungan kepada Allah semakin hilang. Antara amaran keras nabi ialah sebagaimana maksud suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim : Sesiapa yang mendatangi seorang yang meramal (sesuatu yang ghaib) lalu mempercayainya apa yang dikatakannya maka tidak diterima solatnya selama 40 hari. [2]  membebaskan diri daripada menyembah sesama manusia supaya hilangnya sikap manusia yang mempercayai dan mengikut kata-kata dan perbuatan orang berpangkat, berharta secara membuta tuli walau pun jelas bercanggah daripada Islam. Ini dapat mengelak daripada terus suburnya undang-undang rimba di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras golongan miskin, yang berkuasa menzalimi rakyat jelata [3]  membebaskan diri daripada sebarang bentuk kezaliman sistem manusia, perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan. Kemerdekaan hakiki bukan setakat bertukar tangan orang yang memerintah daripada penjajah kepada anak watan sebaliknya bebas daripada terus tunduk kepada perundangan penjajah yang kejam seperti undang-undang ISA yang baru sahaja diumumkan untuk dihapuskan setelah begitu lama didesak. Namun penghapusan ISA masih menjadi tandatanya kerana setakat ini tiada tahanan ISA baru yang dibebaskan malah dokumen penghapusan ISA secara hitam putih belum dibuat. Ia dibimbangi hanya sebagai jerat yang menunggu mangsa terutama cadangan undang-undang gantiannya akan lebih dahsyat daripada ISA yang sememangnya zalim dan kejam.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 17 surah az-Zumar :

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّـهِ لَهُمُ الْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ

Maksudnya : Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu –

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 43 surah al-Furqan :

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya : Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya supaya jangan sesat?

            Sesuai dengan penerusan terhadap tarbiah Ramadhan diikuti dengan puasa sunat 6 hari dibulan syawal maka kita sama-sama berdoa agar kita dapat membebaskan diri daripada 2 lagi bentuk penjajahan merbahaya yang ada dalam diri kita iaitu hawa nafsu yang menyuruh kepada kejahatan dan syaitan yang pandai menipu daya untuk membawa kita kepada kerugian di dunia dan akhirat. Ramai umat Islam hanyut dalam kemungkaran seperti malas sembahyang, bergaul bebas antara lelaki perempuan, mendedah aurat, makan riba, berjudi, terlibat dengan najis dadah, rasuah, pecah amanah akibat daripada dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan. Akibat hanyut dijajah ini menyebabkan hati mereka menjadi mati yang mengakibatkan mereka tidak lagi menghiraukan berkenaan halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Oleh itu dalam membebaskan golongan ini daripada terus dijajah maka antara perkara yang wajib dilakukan sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim Adham iaitu 5 cara untuk ubati penyakit hati mati. [1] Memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian. [2] Banyakkan puasa sunat disamping menjaga yang wajib [3] Latih diri untuk bangun beribadat pada malam hari yang merupakan antara waktu dimaqbulkan doa dan tenang untuk bermunajat kepada Allah. [4] Sentiasa hadir ke majlis ilmu dalam menambah apa yang kurang, memperingat semula apa yang lupa, mempebetulkan kembali apa yang tersalah serta sentiasa mendampingi orang yang soleh. [5] Banyak berfikir tentang hubungan kita dengan Allah diwaktu sunyi agar kita dapat menghitung diri dari segi amal ibadat dan taubat atas segala dosa yang dilakukan. Ingatlah bahawa manusia yang beruntung ialah manusia yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Manakala manusia yang paling rugi ialah manusia yang hari ini lebih teruk daripada semalam dan hari esok lebih teruk daripada hari ini.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 268 surah al-Baqarah :

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Pada hari ini kebanyakan negara umat Islam termasuk negara kita telah merdeka daripada penjajahan bangsa tetapi masih terjajah dari segi perundangan dan sistem hidup. Banyak penjajahan hari ini tertumpu kepada penjajahan pemikiran walau pun makin banyak yang diteruskan melalui peperangan fizikal. Antara penjajahan pemikiran melalui industri pemberitaan dunia hari ini yang sudah sekian lama tersasar daripada kebenaran apabila dimonopoli kuasa besar yang kebanyakannya dimiliki tokoh Yahudi. Apabila Yahudi menguasai media, sudah pasti berita diterima masyarakat hanya yang baik berhubung rejim Zionis. Lihat saja siapa di belakang media antarabangsa seperti CNN, CNBC, FOX, REUTERS, BBC dan lain-lain yang sama ada secara langsung atau tidak langsung pasti berkaitan dengan rejim Zionis. Disebabkan itu, berita kesengsaraan warga Palestin dan kekejaman Israel tidak dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa. Begitu juga kesengsaraan umat Islam di Somalia, Kenya, Sudan dan lain-lain. Musuh Islam berusaha melemahkan semangat dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan berita palsu. Oleh, sudah menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menjadi pembekal berita yang sebenar tanpa perlu bergantung kepada sumber asing ini. Begitu juga sikap tv, akhbar, radio tempatan juga bagaikan mengikut cara yahudi iaitu dipenuhi dengan pembohongan dan menjadikan isu sensitif berkaitan kaum dan agama dalam mewujudkan suasana ketakutan dalam diri rakyat dengan tujuan agar sokongan kepada pemimpin yang zalim terus kekal. Sesungguhnya orang yang beriman tidak akan disengat di tempat yang sama, orang yang cerdik tidak mudah ditipu hidup-hidup, orang bermaruah tidak boleh dijual beli seperti barangan dan binatang

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Merdeka jiwa dan negara rayakan kemenangan

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 123 surah al-Baqarah :

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Maksudnya : Dan takutlah kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan  Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sebagai meneruskan usaha dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang taat sepanjang tahun bukan setakat menjadi hamba Ramadhan yang baik pada bulan Ramadhan sahaja maka marilah kita sama-sama menunaikan puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ  – رواه مسلم

Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا – رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan”

 

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Maksudnya : Raja perempuan itu ( Ratu Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini di mana orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. Golongan yang betul-betul menghayati  erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan Islam sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”. Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, [2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan [3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah system politik, sosial dan ekonomi Islam kepada system ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui system pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita.  Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama  melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah [1] Song iaitu hiburan yang melalaikan yang menghancurkan akhlak umat Islam termasuk ketika menyambut hari raya dan merdeka. Cara hidup bebas daripada pegangan agama merupakan antara senjata paling licik sebagaimana yang pernah disebut oleh Zwimmer : Kita telah berjaya melahirkan di Negara Islam generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin untuk mengetahuinya. Kita berjaya mengeluarkan orang Islam daripada Islam walau pun tidak memeluk Kristian seterusnya kita akan lahirkan generasi yang diingini oleh penjajah iaitu tidak lagi mempedulikan isu besar sekeliling mereka sebaliknya lebih suka berehat dan malas serta matlamat hidup mereka hanya untuk memenuhi nafsu syahwat semata-mata

[2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah sehingga Negara kita sampai hari ini gagal membersihkan nama sebagai Negara pengguna arak nombor 10 paling tinggi di dunia malah apa yang terbaru bila cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad (ESSO) dan syarikat-syarikat berkaitannya kepada sebuah syarikat arak dari Filipina [3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Islam sentiasa mengarahkan umatnya agar menutup pintu zina termasuk melalui pergaulan bebas

Amaran nabi e dalam suatu hadis yang diriwayat oleh Tirmizi:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya : Lebih baik seorang daripada kamu menikam kepalanya sendiri dengan jarum besi daripada dia menyentuh perempuan yang tiada halal baginya

[4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat malah Negara mengiktiraf Israel kerana sukan. Senjata yahudi ke- [5]  Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.

            Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau system dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita Berjaya dunia akhirat

Firman Allah dalam ayat 97-98 surah al-A’araf :

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ

Maksudnya : Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ